Showing posts with label salina ibrahim. Show all posts
Showing posts with label salina ibrahim. Show all posts

Sunday, November 27, 2011

E756: Tulis Cinta Dalam Hati

Photobucket 

: 01.27AM.
: Malam.
: Rindu nak tengok Encik BB. Adeh.
: Kisses... huuuu.
: Maxi Pyjamas.
: Cerekarama TV3; Sebelum Lima Perkara.
: Gemuruh by Faizal Tahir.

Tulis Cinta Dalam Hati tulisan Salina Ibrahim, yang merupakan salah seorang daripada penulis kegemaran saya. Buku ini saya sambar waktu terlihat kelibatnya di rak buku Popular dua bulan lepas. Disebabkan ada tugasan, jadi saya pilih novel ini untuk dibaca sebab nipis sahaja. Yelah, ada novel yang tebal-tebal yang dibeli lagi lama dari itu tapi saya simpan dulu sebab takut tak terkejar dek tugasan. Novel kalau dah sedap dihadap, susah nak ditinggal. Sengih.

Home sweet home, kata orang. Tiada tempat yang paling nikmat selain rumah sendiri. 263

Ada orang kata, bosan asyik baca kisah berkenaan cinta. Tapi mungkin yang berkata tu tak sedar yang kita hidup dalam dunia ini memang berasaskan cinta. Pendek akal pun iya juga kot. Cinta itu kan besar maknanya, besar ruang lingkupnya. Cinta pada Allah SWT, cinta pada nabi, cinta pada keluarga dan saudara, cinta pada buku, bukankah itu semua juga dipanggil cinta? Senyum sinis. Dan kisah kali ini membawa saya menyelusuri kisah Umairah yang mencari cinta pada orang di sekelilingnya. Orang kata, dia kaya dengan kasih sayang sebab dia ada tiga ayah dan tiga ibu tapi dia sikit pun tak merasai kasih sayang itu, malah dia membawa dirinya jauh dari cinta itu. Dalam erti kata lain, Mai menafikan kasih sayang keluarganya itu kerana dia berprasangka buruk.

Keakraban tidak boleh dinilai dengan hubungan darah semata-mata. Keakraban boleh tercetus kerana dasar percaya dan mempercayai. 226
Kita tidak boleh memilih adik-beradik. Adik-beradik itu didatangkan kepada kita dengan segala macam perangai dan seribu satu karenah. Kita terima mereka seadanya. Kita jangan buat musuh dengan mereka. Mereka didatangkan kepada kita bagi lengkap-melengkapi satu sama lain. Mereka adalah pelengkap kita. 265
"Mak tidak penat buat perkara yang sama dari dahulu sampai sekarang?" Umairah bertanya. Emak tergelak kecil dan menjawab, "Tidak akan rasa penat, apabila kita buat dengan penuh kasih sayang, demi orang yang kita sayang." 267

Dulu, saya juga pernah mempersoalkan ini. Kenapa saya mesti jadi anak perempuan sulung dalam keluarga, kenapa tidak hanya saya seorang sahaja? Ya, bunyinya agak tamak di situ. Saya tak pernah ada jawapan tu sampailah saya habiskan bacaan buku ini. Saya baru sedar yang Allah bagi adik perempuan pada saya sebab Dia tahu yang saya tak kuat untuk pertahankan keluarga saya seorang diri. Adik perempuan saya boleh naik angin tak semena-mena kalau ada yang bercakap mengenai keluarga kami sebab kadang-kadang cerita itu kedengaran agak tak berasas sebab adik saya gagah perkasa. Saya ini gagah sahaja tapi tak cukup perkasa. Dan Dia juga mungkin nak bagi chance pada saya merasai hantaran langkah bendul. Gelak kuat-kuat. Kalau adik lelaki kahwin dulu, saya tak dapat apa pun. Kan? Gelak lagi. 

Ia bukan kisah berkenaan aku cinta kau, kau cinta dia dan dia cinta orang lain. Ini kisah berkenaan cinta terhadap ahli keluarga sendiri yang mana kita tidak diberikan pilihan sama ada untuk mengasihi ataupun tidak melainkan kasihkan saudara kita itu semata-mata. Bak kata pepatah, air dicincang tak akan putus. Teruk mana pun bergaduhan, kasar mana pun melawan kata, pasti akhirnya kita akan duduk semeja dan saling berbicara sampai tak sedar waktu. Indahkan berkeluarga. Senyum.

Malam nanti ada perlawanan hidup mati Harimau Muda menentang Bahrain untuk Kelayakan Olimpik 2012. Go, go anak-anak rimau. Tapi jujurnya, saya rindukan gerak lincah kapten Skuad Sukan Sea 2011. Aduhai la, rindu pula pada anak orang.

Thursday, September 8, 2011

E723: Tiada Khatimah Cinta



Photobucket

: 10.26 PM.
: Malam yang biasa sahaja.
: Semoga aku tidak hanyut dalam kesenangan ini. Amin.
: Dinner; Nasi Putih + Telur Goreng Sempoi + Ikan Pekasam Goreng & Air Kosong.
: Tee Shirt Langkawi & Tracksuit.
: Akasia; Kasih Alia Episod 20.
: Andai Kumiliki Semalam by Search.

Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk menghabiskan sebuah lagi novel keluaran Karangkraf yang berjudul Tiada Khatimah Cinta tulisan Salina Ibrahim. Novel ini sempat dihabiskan sehari sebelum cuti raya berakhir dan saya suka mengakhirinya. Kisah yang sarat dengan kasih sayang seisi keluarga, larat dengan kata pedoman, nasihat dan juga kisah-kisah terdahulu untuk diambil ikhtibar dan pengajaran.

Kisah ini berkisah tentang Anis Hasanah yang lebih mesra dengan panggilan Hana yang hidupnya dihantui dengan momok silam yang sentiasa mengekori. Dek kerana momok silam itu, dia berubah. Bukan dia seorang, tapi seluruh isi keluarganya berubah dan berusaha untuk tetap dalam landasan yang betul. Namun, langkahnya tidak semudah yang disangka. Hatinya kadangkala merusuh, lagi-lagi bila berhadapan dengan Amir Hakim. Dan benar kata orang, cerita kisah silam kadangkala tak tertanggung sakitnya dek kerana kesilapan lama. Hanya sabar yang dia ambil buat perkuatkan isi hati. Dipertemukan dengan Hatim, Hana mula membuka hatinya kembali. Cerita cinta mereka tiada janji manis, tiada sumpah hidup mati bersama malah tak ada kata pun yang mengikat mereka. Mereka menyulam rasa dalam satu suasana yang sangat terjaga. Tapi, sekuat-kuat hati Hatim tapi kuat lagi dugaan yang datang. Dan Hana terus menyulam kekuatan bertongkatkan ibu ayahnya dan juga abang-abangnya. 

Macam biasa, saya suka untuk berkongsi kata-kata yang saya dapat. :)
Semua orang bermula daripada kosong. Semua orang bermula daripada tak tahu apa-apa. Relakan diri untuk belajar dan diajar. [14]
Api menguji mutu emas, kesengsaraan menguji keberanian manusia. Alam terbentang buat pedoman. Setiap isi muka bumi, ada manfaatnya. Lalu dia harus menjadi lebih manusia selepas diri dimanusiakan dengan ujian dan pancaroba. [15]
Yang pahit itu tidak semuanya buruk. [130]
Manusia tetap manusia. Kita selalu anggap kesusahan itu suatu ujian tapi kesenangan juga suatu dugaan untuk manusia. [211]
Cari cinta Allah SWT, barulah kamu akan temui cinta manusia. Dahulukan cinta Allah SWT, dengan izinNya hati kita akan menjadi tenang dan ditunjukkan jalan. []
Kisah ini adalah satu kisah untuk membina hidup baru. Kisah bagaimana seorang anak gadis yang tersalah langkah, kisah sepasang suami isteri yang tersilap mendidik anak-anak berubah untuk mencari khatimah yang lebih baik, akhirat yang hakiki. Perubahan ke arah kebaikan memang memerlukan kekuatan diri, tapi hakikat tentang peranan orang-orang sekeliling juga adalah penting. Dan kisah ini juga merungkai cara bagaimana seseorang itu untuk berhadapan dengan seseorang yang mempunyai momok silam. Mungkin satu yang perlu kita ini, setiap dari kita ada sejarah masing-masing. Buruknya sejarah seseorang tidak bermakna buruk juga kisah sekarang dan masa depannya. 
Lorong dan jalan yang panjang mungkin tidak akan lurus, mungkin tidak akan rata sepanjang masa. barangkali dia akan terserempak simpang-perenangnya, mungkin akan ada lekuk kelok yang menuntut mata lebih berawas dan tentu akan ada lubang-lubang yang harus dielakkan supaya tidak terjerembap jatuh. [27]