Saturday, October 15, 2016

Untuk yang telah pergi #NAF

Sebagaimanapun takdir itu, kau selalu aku tetapkan
kemas menyelinap di sela jemariku menjadi doa.
-Tidak lagi kembali, Para Jamaludin

Buat awak yang saya panggil orang laut. Ada beberapa perkara yang mahu saya katakan. Mungkin ini tak penting buat awak, tapi ini penting untuk saya. Pertama, maaf kerana memilih ruang terbuka ini untuk menulis kata. Kedua, maaf kerana menjadi manusia yang kononnya sayangkan awak tapi tanpa sedar menyusahkan awak. Maafkan saya.

Pernah awak kata yang awak adalah satu kejadian yang tak patut terjadi dalam hidup saya. Tapi jujur saya kata, awak salah. Awak adalah antara perkara indah yang pernah terjadi dalam hidup saya. Malah kalau diberi sekali lagi peluang untuk memilih, saya masih memilih untuk kenal awak. Mengenali awak buat saya belajar bagaimana untuk meletakkan doa dan harapan di tempat paling tinggi. Dengan awak, saya belajar menunggu dengan sabar, saya belajar sabar dengan dugaan dan saya juga belajar bagaimana untuk menyayangi hanya dengan doa. Jadi tak ada sebab untuk saya menyesal mengenali awak.

Dan benar kata Tuhan, tak ada satu kejadian pun yang dijadikan untuk perkara yang sia-sia. Tak ada.

Awak, maafkan saya kerana menunda maaf untuk awak. Maafkan saya untuk semua bahasa tak indah yang saya ucapkan pada awak tika kecewa saya memuncak, tika sedih saya beraja dan tika marah saya menggunung tinggi. Pada ketika awak membaca ini, saya seikhlasnya memaafkan apa jua perbuatan awak. Mungkin dengan maaf ini akan mendatangkan bahagia buat saya. Doa saya untuk awak; semoga awak bahagia dengan hidup awak. Semoga dipermudahkan segala urusan awak. Moga diberkati perjalanan hidup awak. Moga dirahmati kehidupan baru awak nanti.

Kalau sesekali nanti bila ada angin laut menyapa awak senyaman-nyamannya, mungkin itu salah satu dari salam yang saya kirimkan setiap kali kali saya bertemu pantai. Sebagaimana awak yang sinonim dengan laut, begitu juga saya dan pantai.

Dan semoga laut selalu baik-baik sahaja, untuk awak dan semuanya yang di sana. Saya cuma mampu menjaga dengan doa.

Lalu kita akan pulang
mencebur ke dalam kolam-kolam tangan yang
menampung doa buat tuhan;
Meminta agar di masa mendatang
kita lebih bersedia
untuk tidak mengenali orang yang kita kenal.
- Babak yang tak harus datang, Mosyuki Borhan