Friday, November 29, 2013

Little Secret


Ada satu ketika bila mana aku memandang laut, aku teringatkan seseorang. Seseorang yang pernah dekat, kini jauh pergi mencari dirinya sendiri di dalam dunia yang dia minati. Aku dan laut, terlalu dekat. Melalui kehidupan yang dikelilingi lautan, ulang-alik kerja aku juga bertemu lautan malah persekitaran kerja aku juga terlalu dekat dengan laut. Kadang-kadang, aku rasa sudah menjadi rutin aku untuk mengingat dia walau hanya dengan sekilas pandang pada lautan.

"Saya tak pernah jumpa minat saya sehinggalah saya jumpa laut."

Itu yang dia katakan pada aku. Aku kenal bagaimana perasaannya bila jatuh cinta dengan laut, kerana aku juga sudah terlalu lama cinta akan laut. Jauh mana aku pergi, bau masin air laut juga yang aku rindu. Sejuk mana aku nyamannya aku rasai, tetap panas bahang laut juga yang mahu. Jadi bagaimana mampu untuk aku menghalang dia dari terus mencintai laut, lagi-lagi dia baru saja jatuh cinta padanya?

"Kenapa diam?" Dia bertanya.
"Saja. Nak dengar bunyi ombak," balas aku selamba.
Dia ketawa lalu kata, "buang kredit saya saja."

Waktu ini, aku rasa aku cuma mahu dia tahu yang aku rindu. Dan aku juga sedar, cara melepaskan rindu paling baik waktu ini adalah hanya dengan membawa dia di dalam doa-doa aku. Semoga dia tahu, semoga dia rasa. Dan aku tahu Tuhan ada untuk jaga dia. 

"Kau kan temui bahagia, walaupun aku tidak bersama. Jangan gusar aku akan selalu ada, dari jauh engkau masih kucinta."